07 November 2011

Dulu RM323 Sekarang RM845!

Langkah Kerajaan Kelantan memperkenalkan Dinar dan Dirham 
sebagai aset untuk rakyat di negeri ini menabung merupakan jalan yang tepat apabila satu dinar yang dilancar empat tahun lalu bernilai RM323 hari ini meningkat RM845.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa, berkata peningkatan itu merupakan sejarah dalam kenaikan harga emas dunia.

Menurutnya, harga emas pasaran dunia pula hari ini meningkat kepada USD1,723 dan ianya merupakan satu sejarah dalam kenaikan harga emas.

“Mana-mana masyarakat yang sebelum ini membeli emas mendapat keuntungan yang besar dan rugi sekiranya tidak berbuat demikian bagi mereka yang mampu.

”Bagaimanapun sekarang kita masih boleh membelinya kerana ia belum terlewat memandangkan harga emas pasaran dunia akan naik lagi mencecah USD3,000,” ujarnya.

Menurutnya, memandangkan kerajaan negeri menyedari perkara ini PMBK Sawit
sejak awal lagi melabur sumber kewangannya di sebuah bank di negeri ini sebanyak
RM1 juta.

Tambahnya, keuntungan yang diperolehi dalam tempoh lebih sebulan RM130,000.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat seluruhnya supaya melabur serta
meningkatkan pelaburan masing-masing kerana keuntungannya bakal diperolehi lebih
besar khususnya penghujung tahun ini.

Menurutnya, kejatuhan dollar Amerika yang tidak berjaya mengekang kewangan
ekonominya disamping jumlah hutang yang kian banyak, akan memberi ruang kenaikan
keuntungan harga emas pada masa akan datang.