23 Disember 2010

Persatuan Ulama Malaysia lancar Kelab Penyokong Dinar

KUALA LUMPUR, 22 Dis : Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dengan rasminya pada hari ini
melancarkan Kelab Penyokong Dinar.Pelancaran itu dilakukan oleh Datuk Al-Sheikh Abdul
Halim Abdul Kadir, Yang Dipertua PUM sempena Seminar Seminar Minisiri Dinar Emas
di Putra World Trade Centre (PWTC).
Menurut Abdul Halim, penubuhan Kelab Penyokong Dinar ini merupakan sebahagian daripada
usaha PUM memberi kesedaran kepada orang ramai tentang dinar emas.
 “Untuk merealisasikan usaha memberi kesedaran dan kefahaman menyeluruh kepada
masyarakat awam, mengenai peri pentingnya mengembalikan kebangkitan dinar emas
dalam muamalah ummah, dan menggerakkan kesedaran tersebut secara dinamik dan
 berkesan, maka Kelab Penyokong Dinar ini dilancarkan,” ujarnya semasa menyapaikan
ucaptama pada seminar itu.Seminar sehari ini menampilkan beberapa pembentang iaitu
 Dr Zahimi Chik (Al-Qafilah International), Khalid Noorshah (Gold Dinar Research Group,
Universiti Sains Malaysia),Khairudden Hussin (Muamalah Council), Mazli Alias
(Penganalisis Pasaran Ekuiti), Redhuan Oon (Pengasas Adempiere), Abdullah Zaidi Hassan
(Penyelidik Perpustakaan Islam Nur Az-Zahrah), Haji Ann Wang Seng (Setiausaha MACMA),
 Rafidi Hashim (Pendakwah) dan Dr Luqman Abdullah (Pensyarah Kanan Jabatan
Fiqh dan Usul, Universiti Malaya)
Isu penggunaan dinar emas ini mula menarik perhatian
umum apabila Tun Dr Mahathir yang menjadi Perdana Menteri Malaysia ketika menyebutnya
secara tidak langsung pada tahun 2003.Walaupun beliau ketika itu tidak bermaksud
dinar dijadikan sebagai matawang,namun langkah-langkah proaktif telah dimulakan oleh
Kerajaan PAS Kelantan pimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Pelbagai usaha seperti seminar, forum dan perbincangan telah diadakan.
Langkah PAS tersebut mendapat publisiti dan pandangan yang berbeza-beza.
Usaha tersebut tidak terhenti setakat itu, pada 20 September 2006, kerajaan Kelantan
telah mencatat sejarah apabila mula menjual kepingan-kepingan dinar dan dirham dan
telah digunakan di Pasar Besar Siti Khadijah dan Bazar MPKB, Kota Bharu.
Oleh hal yang demikian, penubuhan Kelab Penyokong Dinar ini merupakan langkah
 yang wajar disokong agar penggunaan dinar dan dirham kembali diterima dalam
masyarakat hari ini, di samping menjadi alternatif kepada sistem matawang kapitalis.